Mulia sungguh bulan ini

by ahmad faezi on Sunday, August 30, 2009



Bagaikan baru semalam berlalu, bulan Ramadhan muncul kembali sekelip mata. Pada kesempatan ini, kami ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa Ramadhan. Rebutlah sebanyak mungkin keberkatan bulan ini. Tinggalkan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah dan membuang masa. Basahi lidah kalian dengan zikrullah sepanjang hari dan jika berkesempatan, hidupkanlah malam dengan Qiamullail sebelum bersahur. Semoga Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang paling bermakna dan lebih baik daripada tahun lepas.


MySpace For Dummies


suka duka, tangis tawa, ceria lara

by ahmad faezi on Friday, August 21, 2009

Hari sabtu, 15ogos. Ahli kelab penyayang UiTM malaysia seramai 9 orang telah mengikuti program anjuran kelab penyayang MSU di pantai cendana asmara biru, Port Dickson. Program yang dinamakan Gegar PD ini telah berlangsung dengan lancar sekali tanpa sebarang halangan. Program dimulakan dengan sesi gotong royong besar-besaran meliputi unjuran pantai sepanjang 200meter dan kira-kira 5000meter persegi kawasan pepasir dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson yang telah menghantar wakil mereka berkekuatan seramai kira-kira 10 orang. Usaha membersihkan pantai ini nyata berhasil apabila ramai yang memuji keikhlasan hati kami yang sudi hadir membersihkan kawasan itu. Kesabaran kami juga sangat teruji apabila panahan mentari yang terik menerobos jauh ke lapisan kulit lalu menggelapkan kulit beberapa peserta yang kurang bernasib baik.

Setelah tamat sesi gotong royong, bermulalah acara perkenalan. Seorang demi seorang tampil ke hadapan bercerita mengenai diri masing-masing dan disoal seperti temuduga lagaknya. Sangat mencuit hati apabila melihat gelagat peserta yang masing-masing berkepala gila-gila dan sering mengutarakan jenaka. Terasa seperti di alam persekolahan kembali.

Jam 11.45pagi, tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh semua. Lautan yang terhampar seolah-olah memanggil kami untuk membasahkan diri. Seruan pantai disahut jua. Seorang demi seorang masuk ke air setelah menukar pakaian di bilik persalinan yang hanya nampak gah dari luar. Lautan masin nyata bukan cabaran bagi perenang yang sudah biasa di dalam kolam renang. Ombak yang agak perlahan tambahan lagi ketumpatan air laut yang tinggi memberikan daya apungan yang baik. Subhanallah, itulah yang mampu terpacul dari mulut penulis apabila menyedari sifat geografi pantai yang masih cetek walaupun sudah jauh ke tengah.

Pantas pula terasa masa berlalu tatkala leka berenang-renang di sepanjang pantai. Hilai tawa kanak-kanak mahupun orang dewasa jelas menggambarkan perasaan gembira mereka walaupun sudah tengah hari. Hidangan nasi ayam menjadi santapan kami tengah hari itu. Kemanisan ayam panggang serta nasi yang masak dengan sempurna ibarat menyuntik kembali tenaga ke dalam tubuh masing-masing. Sesudah petang, kami semua pulang dengan perasaan penat bersulam gembira. Kami disajikan dengan tayangan filem Rambo 3 di dalam bas sepanjang perjalanan pulang. Ada juga yang terlena sepanjang perjalanan kerana cuaca yang sebelumnya terik mula beransur-ansur berubah apabila kepulan awan seolah-olah memberi petanda hujan akan turun.

Setiap yang suka pasti ada dukanya. Selepas aktiviti tersebut, dalam perjalanan pulang, presiden kelab penyayang yang disegani dan dihormati telah terlibat dalam kemalangan motosikal bersama-sama rakannya yang membonceng. Kedua-dua mereka telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Tahniah diucapkan kepada pihak hospital kerana mereka terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan kira-kira 2 jam dalam keadaan berlumuran darah dan risiko terkena jangkitan. Semoga mereka segera sembuh dan diharapkan Arif kembali aktif mengemudi Kelab Penyayang UiTM Malaysia seperti sediakala.

Meningkat Usia

by ahmad faezi on Thursday, August 13, 2009


Untuk pengetahuan semua, tanggal 10 ogos tempoh hari, adalah tarikh keramat bagi salah seorang daripada kami. Hari tersebut merupakan tarikh ulang tahun kelahiran presiden Kelab Penyayang UiTM Malaysia yang sungguh berkaliber dan berkarisma iaitu saudara Arif bin Ahmad. Semoga dengan peningkatan usia ini, semangat berbakti dan kesukarelaan yang diamalkan beliau selama ini dapat dimantapkan lagi dan diperhebat. Diharapkan juga kepada AJK-AJK beliau dan ahli-ahli meneruskan sokongan kepada beliau dan hargailah pengorbanan beliau selama ini yang telah membawa kepada kemajuan Kelab Penyayang di UiTM Malaysia.

Salam 1 Malaysia

by ahmad faezi on Wednesday, August 12, 2009


setelah didesak oleh banyak pihak, akhirnya kelab penyayang UiTM Malaysia sudah mempunyai blog sendiri!!!!yeah!!ikuti perkembangan kami di sini...


Sucikan Dirimu